Monday, June 29, 2009

Renungan Rejab

Dari meja Setiausaha Jawatankuasa Penghayatan Islam 09

Pendahuluan

Sempena bulan Rejab yang banyak keberkatannya ini, Jawatankuasa Penghayatan Islam SMK Datuk Peter Mojuntin ingin mengajak staf DPM khasnya yang beragama Islam menyorot kembali peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. Semoga dengan coretan ini sedikit sebanyak dapat menyuburkan minda dan seterusnya menggarap keimanan terhadap Rabbul Jalil. Tulisan ini insyaallah akan diterbitkan dalam beberapa siri sepanjang bulan Rejab ini.


Israk dan Mikraj merupakan peristiwa bersejarah dirakamkan dalam al-Quran mengandungi hikmah dan pengajaran yang amat besar, menunjukkan kekuasaan Allah mencipta alam ini dan membenarkan lagi kerasulan Muhammad s.a.w.


Ia peristiwa sangat luar biasa, mencabar pemikiran manusia kerana berlaku di luar pencapaian pancaindera biasa manusia, namun bagi golongan beriman tetap yakin dengannya kerana ia bukti kuasa Allah. Dalam Islam, ulama mencapai kata sepakat sesiapa yang meragui atau tidak mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj hukumnya kafir.
“Maha suci Allah yang membawa hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa di Palestin yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang amat mengetahuinya.” (Maksud surah al-Isra':1)


Terdapat tanda-tanda akli mengenai kisah Israk dan Mikraj ini yang boleh dilihat melalui pancaindera antaranya batu di Masjidil Aqsa juga terangkat kerana hendak mengikut bersama Rasulullah s.a.w ke langit disebabkan sayang dan tidak hendak berpisah dengan Nabi. Itu adalah tanda kebenaran yang sangat jelas. Sesiapa saja boleh ke Baitul Maqdis melihat batu terbabit yang masih boleh dilihat dengan jelas hari ini.
Ringkasan peristiwa Israk dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

Insyaallah bersambung edisi akan datang............

Disunting dari :-
1. http://www.al-azim.com/~beringin/agama/israkdanmikraj.htm.
2.
http://al-islam.wikidot.com/israj-mikraj
3. Rujukan : Quran Tafsir.

Sunday, June 28, 2009

Mesyuarat Panitia Pendidikan Islam Bil 3 dan Kursus Dalaman

Tarikh : 03 Julai 2009
Hari : Jumaat
Tempat : Bilik Multi Media Pendidikan Islam.
Masa : 8.30 am – 12.00 - mesyuarat
1.15pm - 3.30 pm – Kursus dalaman

Agenda :

1. Ucapan Pengerusi
2. Mengesahkan minit mesyuarat bil. 2
3. Perkara berbangkit
4. Review Takwim Panitia
5. Review Pelan Strategik Panitia (Program Celik Jawi)
6. Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dan PAFA.
7. Program Gemilang A dan Titian Gemilang
8. Pencerapan
9. Hal-hal lain.


Semua ahli panitia diwajibkan hadir pada mesyuarat tersebut.
Sila bawa bersama satu salinan AAR bil 1, satu salian jadual waktu terbaru dan statistik pelajar kelas masing-masing. Surat jemputan akan dikeluarkan oleh setiausaha.


Sekian terima kasih


Saya yang menjalankan tugas,

Dul-Rosidi Ahmad
Ketua Panitia,
Pendidikan Islam SMK DPM 09.

SEMINAR PEMIKIRAN ISLAM KE 2

Panitia Pendidikan Islam telah menghantar seramai enam orang pelajar sebagai peserta Seminar Pemikiran Islam ke 2 yang telah diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Persekutuan Sabah, Pasir Putih Putatan pada 28 Jun 2009. Program telah dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah. Seminar ini diadakan sempena Muktamar Agung ABIM.

Majlis dimulakan dengan Ucap Utama yang bertajuk "Konsep Budaya Ilmu" oleh Ybhg. Sdr Muddin Beting, Penolong Pengarah, Jabatan Pelajaran Sabah. Seminar diteruskan dengan pembentangan kertas kerja yang bertajuk "Budaya Ilmu Teras Pembinaan Generasi" oleh Ybhg Sdr. Abdul Manap Mahmud, YDP ABIM Sabah.

Selepas rehat, seminar diteruskan dengan forum yang bertajuk "Peranan Generasi Muda dalam Pembudayaan Ilmu". Antara ahli panel yang terlibat ialah Sdr. Zikri Zainuddin, Setiausaha ABIM, Sabah, Sdr. Fairuz Assaadah Hj. Sulaiman, Helwa ABIM Sabah dan Sdr. Basri Abbas, ABIM Putatan. Sdr. Putera Alif Al'Ain Bin Jasni, UMS Kampus Labuan bertindak sebagai moderator.

Seminar ini di Rasmikan oleh YB. Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Tim. Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.

SMK Datuk Peter Mojuntin diwakili oleh Rita Binti Abdul, Siti Nur Khairiah Mohammad, Mohd Naszrien Ismail, Burhanuddin Bin Alias, Nasirah Nasir dan Norain Asni dari tingkatan enam rendah. Ust Dul-Rosidi Ahmad sebagai guru pengiring.



K/Panitia

NADWAH KEPIMPINAN PELAJAR DAERAH PENAMPANG 2009


Adik Norziana Raspin (gambar) dari SMK Datuk Peter Mojuntin, Penampang telah dipilih sebagai peserta terbaik perempuan dari Daerah Penampang dalam Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam, di Kem Malanggang Kiulu, Tuaran. Dengan pemilihan ini, Norziana Raspin yang merupakan pelajar tingkatan 4A akan mewakili Daerah Penampang bersama 3 orang lagi peserta ke Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam Peringkat Negeri yang akan diadakan pada pertengahan julai nanti.

Nadwah Kepimpinan Pelajar Daerah penampang telah diadakan di Pusat Ko-Negeri Sabah, Kem Malanggang, Kiulu, Tuaran pada 19 hingga 21 Jun 2009. Program ini telah diadakan secara bersama oleh Pejabat-pejabat Pelajaran Daerah Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran. Seramai 300 peserta, masing-masing 100 orang dari setiap daerah telah menghantar peserta ke program tersebut. 30 orang fasilitator dan 15 orang urusetia turut terlibat dalam program ini.

SMK Datuk Peter Mojuntin di bawah Panitia Pendidikan Islam telah menghantar 6 orang peserta bersama dua orang guru pengiring yang juga bertindak sebagai Fasilitator dan Ketua Kem Komandon dalam Program yang diadakan ini.

Pelajar-pelajar yang mewakili SMK Datuk Peter Mojuntin ialah Md. Rizal Jafar(4B), Herman Bin Masri (4C), Adireka Syahiran Kassim (4C), Norziana Binti Raspin (4A), Siti Norshahzriennah Bte Jutah (4D) dan Husnih Nur Binti Abdul Salam (4D). Ust. Dul-Rosidi Ahmad dan Ust Ahmad Rezwan Razali bertindak sebagai guru pengiring.

Pelbagai aktiviti telah diatur oleh pihak urusetia nadwah bersama dengan Pusat Ko Negeri sepanjang nadwah ini. Antara aktiviti tersebut ialah Ice Breaking, Kuliah subuh, Kawad Kaki, Aktiviti Pengkalan Bergilir (Kerubung Terbang, Larian Berhalangan – kolam diraja, tarzan swing, lubang jarum, kargo net dan sungai), ceramah, bengkel, khidmat masyrakat dan juga Qiamullai.

Perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Tuaran pada 21 Jun 2009.
Sesi Bergambar.
Duduk dari kiri, wakil Pusat Ko, Pegawai Pelajaran Daerah Tuaran, Ketua Unit Pendidikan Islam Bahagian Barat dan Ketua kem Komandon bersama fasilitator ketika sesi bergambar.

BULAN KESYUKURAN SMK DATUK PETER MOJUNTIN, 2009

Sepanjang Mei 2009, Panitia Pendidikan Islam SMK Datuk Peter Mojuntin telah menjalankan beberapa aktiviti bersempena dengan pelancaran Bulan Kesyukuran 2009. Bulan Kesyukuran merupakan program sekolah yang diadakan setiap bulan Mei pada setiap tahun. Untuk melaksanakan aktiviti pada bulan ini, pihak sekolah telah mempertanggungjawabkan Panitia Pendidikan Islam, Panitia Pendidikan Moral dan Panitia Pendidikan Seni. Adalah diharapkan melalui program dan aktiviti yang diadakan bagi panitia Pendidikan Islam sedikit sebanyak dapat membantu memberi nilai berkualiti terhadap pengetahuan sedia ada pelajar.

Selain dari itu, antara objektifnya adalah untuk memupuk kesedaran di kalangan pelajar kepentingan bersyukur dan terima kasih dan memantapkan lagi nilai-nilai murni sedia ada di kalangan pelajar.

Antara aktiviti yang dilaksanakan oleh Panitia Pendidikan ialah pemakaian lencana bulan kesyukuran di kalangan guru dan pelajar sepanjang bulan Mei, pertandingan kuiz Pendidikan Islam pertandingan khat dan pertandingan menulis kad ucapan dengan tulisan Jawi.

Program ini telah disempurnakan pelancarannya oleh Pn. Nurani Fauziah Derin, Pengetua SMK Datuk Peter Mojuntin pada 04 Mei 2009, bertempat di Dewan Harmoni SMK Datuk Peter Mojuntin, yang turut dihadiri oleh guru-guru penolong kanan dan guru-guru serta semua pelajar sidang pagi SMK Datuk Peter Mojuntin. [Gambar Atas, ketua pelajar Jasmine Rajah memakaikan lencana bulan kesyukuran kepada Pengetua, Pn Nurani Fauziah Derin sebgai simbolik pelancaran bulan kesyukuran 2009]

Keputusan bagi pertandingan Kuiz Pendidikan Islam adalah seperti berikut, bagi kategori menengah rendah, tempat pertama dimenangi oleh Shasha Salamma Bt. Mohd Yusof [3D], tempat kedua ialah Jannatun Naimah Sugiharto [3A] dan tempat ketiga jatuh kepada Amiratul Hidayah Bte Burhan (3A). Manakala bagi kategori Menengah Atas, johan disandang oleh Norziana Binti Raspin (4A), Naib Johan dimenangi oleh Munira Burhanuudin Syam (4A) dan tempat ketiga jatuh kepada Noor Amalina Binti Abd Latif (5A).

Bagi Penulisan Khat sidang pagi, johan Junita Pridi binti Benyamin 5C dan Naib Johan Munira Binti Burhanuddin Sham. Bagi kategori pendidikan khas, johan ialah Joepoldson Jopinu (Bukan muslim) Naib Johan Maxwell (bukan muslim) dan tempat ketiga Janet Sylvarinus (bukan muslim).
Manakala bagi pertandingan Kad Ucapan Jawi, sidang pagi pemenangnya ialah Munira binti Burhanuddin Sham. Kategori Pendidikan Khas, Johan ialah Norbaizurah Shahinin, Naib Johan Roderick Kelvin Gondipon dan tempat ketiga ialah Lidia Kadim.

Majlis Penyampaian hadiah dan sijil penyertaan telah disempurnakan oleh Pn. Fay H. Mogindol Penolong Kanan Pentadbiran pada 27 Mei 2009.

K/Panitia.




Duduk Seketika Menggarap Keimanan

Program ini dilaksanakan pada setiap pagi jumaat pada pukul 6.35 pagi bertempat di Surau Nurul Hikmah SMK Datuk Peter Mojuntin bermula Mac 2009. Antara objektifnya adalah untuk mendekatkan pelajar dengan pencipta, melembutkan hati dengan bacaan ayat al-quran dan zikrullah.
Golongan sasaran adalah semua pelajar muslim sidang pagi kecuali pendidikan khas. Guru terlibat adalah semua guru Pendidikan Islam sidang pagi diwajibkan manakala guru muslim adalah digalakkan.
Antara pengisiannya adalah bacaan yassin, maksud hadis-hadis rasulullah, zikir munajat dan Asma' Al-Husna.
k/panitia.